Pihak HTC telah pun melancarkan HTC One secara rasminya, sekaligus 
membawakan pelbagai kemaskini padanya, daripada spesifikasi, rekabentuk 
dan juga antaramuka HTC Sense itu sendiri.
Dari segi spesifikasi, ia membawakan skrin LCD bersaiz 4.7-inci, 
dengan sokongan paparan resolusi penuh – 1080p. Perkara ini sekaligus 
membawakan ketumpatan densiti pada kadar 468PPI pada peranti tersebut. 
Ia turut dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 600, memori 
sebanyak 2GB RAM, bateri berkapasiti 2300mAh, sokongan NFC, dan turut 
dilengkapi dengan sokongan LTE padanya.
Seperti biasa, pada keluarga One, HTC memfokuskan kepada kamera dipanggil sebagai HTC UltraPixel Camera.
 HTC mengatakan ia membolehkan pengguna merakamkan gambar yang 
berkualiti tinggi, walaupun pada keadaan cahaya yang rendah 
menggunakannya. HTC ImageChip 2 turut disertakan, membolehkan pengguna 
merakamkan gambar dan video dalam bentuk HDR, 1080p pada kadar 30fps dan
 720p pada kadar 60fps.
Selain kamera dan skrin yang baik, HTC One turut didatangkan bersama-sama sokongan HTC BoomSound,
 dikatakan membawakan kualiti audio yang amat baik melalui dua stereo 
speaker pada bahagian hadapan. Selain itu, perkara ini juga dikatakan 
memberikan rakaman audio yang lebih baik pada peranti tersebut, 
disamping membolehkan pengguna membuat panggilan pada kualiti bunyi 
suara yang lebih baik berbanding peranti lain.
Sokongan baru dinamakan sebagai HTC Zoe turut sama 
didatangkan dengan peranti ini, membolehkan pengguna merakamkan gambar 
dan video HD pada masa yang sama, dan diubah kepada bentuk galeri yang 
menarik secara automatik, sekaligus membolehkan pengguna menyimpan 
detik-detik menarik dengan mudah.
Untuk antaramuka HTC Sense, ia diberikan nafas baru sepenuhnya, 
dimana pada skrin utama, kini pengguna boleh mengikuti pelbagai 
kemaskini dengan mudah dari pelbagai laman dan perkhidmatan. Fungsi ini 
dipanggil sebagai HTC BlinkFeed, membawakan fungsi seumpama Flipboard, membolehkan pengguna mengikuti pelbagai informasi dengan mudah.
HTC dikatakan akan memperkenalkan peranti ini secara berperingkat ke 
seluruh dunia bermula bulan Mac 2013 ini. Tarikh pelancaran dan harga 
jualan tempatan masih tidak diketahui buat masa ini. Kami akan 
membawakan pandang pertama peranti ini dalam masa beberapa hari lagi.
